Akupunktur, bekam dan pembetulan tulang belakang
Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
|
KAIYISAH (tengah) bersama rakan kongsi, pakar kiropraktik, Dr. Ahmad Sobri Sanusi (kiri) dan Aizarena.
|
KEDATANGAN Arfah Abd. Aziz, 33, ke Pusat Kesihatan ThibbulJawi (ThibbulJawi) yang terletak di Batu Caves, Selangor baru-baru ini disambut mesra oleh pemiliknya, Kaiyisah Yeoh Abdullah.
Ini kerana Arfah merupakan antara pelanggan tetap yang memilih untuk menjalani rawatan akupunktur yang ditawarkan pusat kesihatan tersebut sejak tiga tahun lalu.
Guru Pendidikan Seni di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur itu memberitahu, setiap bulan dia akan datang sebanyak dua atau tiga kali bagi mendapatkan rawatan berkenaan.
“Saya suka melakukan sesi akupunktur di bahagian mata. Ini kerana selepas menjalani rawatan, mata akan berasa lebih segar dan ringan. Pemandangan juga lebih jelas.
“Berdasarkan pengalaman saya sepanjang menjalani rawatan ini, ia memang memberi kesan serta-merta. Paling penting, ia tidak mempunyai kesan sampingan,” ujar Arfah yang mengenali Kaiyisah daripada arwah ayahnya.
|
PERALATAN klinikal disteril mengikut standard yang ditetapkan oleh Hospital Universiti Sains Malaysia. |
Selain di bahagian mata, Arfah turut melakukan terapi akupunktur di bahagian tengkuk dan belakang badan bagi melegakan rasa sakit yang dialami lantaran kepenatan bekerja.
Mula beroperasi sejak tahun 2003, ThibbulJawi yang diasaskan oleh Kaiyisah menawarkan pelbagai rawatan perubatan komplimentari seperti akupunktur, bekam dan pembetulan tulang belakang.
Menurut Kaiyisah, 43, niatnya membuka pusat rawatan tersebut adalah untuk menambah nilai hidup pada individu lain yang mungkin mengalami masalah kesihatan.
“Konsep perubatan di ThibbulJawi adalah sehingga sembuh. Sebagai contoh, pesakit strok biasanya akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.
“Tetapi, Alhamdulillah ada pesakit yang lumpuh sebelah tangan sembuh dengan izin Allah selepas hanya sekali menjalani rawatan akupunktur di sini.
“Ini biasanya melibatkan pesakit yang mengalami serangan strok ringan namun, ada juga yang memerlukan kepada dua atau tiga sesi terapi mengikut situasi,” terang Kaiyisah yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif ThibbulJawi.
Rawatan akupunktur merupakan sejenis sistem perubatan tradisional yang berasal dari China dan menjadi komponen penting dalam sistem penjagaan kesihatan di negara tersebut.
Kaedah rawatan adalah menggunakan tusukan jarum halus di tempat-tempat tertentu pada anggota badan bagi menyembuhkan kesakitan atau tujuan terapeutik.
Sehingga kini, terapi akupunktur telah dipraktikkan di lebih 160 buah negara di seluruh dunia. Apa yang pasti, rawatan ini tidak menyakitkan dan berkesan untuk menghilangkan kesakitan tanpa menggunakan sebarang dadah atau racun.
|
RAWATAN akupunktur boleh membantu memperbaiki kesihatan tulang belakang |
Tambah Kaiyisah yang memeluk Islam pada tahun 1997, rawatan yang ditawarkan di ThibbulJawi adalah mengikut standard yang ditetapkan oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
“Ini termasuklah kaedah steril bagi peralatan klinikal yang digunakan seperti jarum, pisau dan sebagainya. Selain itu, kakitangan yang bertugas di sini adalah individu profesional dan bertauliah dari HUSM,” kata Kaiyisah lagi.
Sementara itu, rakan kongsi Kaiyisah, Dr. Aizarena Syifa Mohd. Sahir, 34, berkata, terdapat tiga aspek dalam kaedah akupunktur iaitu sakit, kebas dan lega.
“Ketiga-tiga perkara ini akan dirasai oleh pesakit yang menjalani rawatan ini. Tetapi, harus diingat rasa sakit itu terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kelegaan selepas melakukan akupunktur.
“Ramai orang tidak mahu melakukan rawatan akupunktur disebabkan rasa takut yang menguasai fikiran lantaran melihat jarum tajam yang dicucuk pada anggota tubuh.
“Tetapi, percayalah jika telah melakukannya, anda pasti mahu mengulangi terapi ini kerana kesan yang diperoleh,” tutur Aizarena Syifa yang berpengalaman selama tujuh tahun dalam rawatan akupunktur ini.
Tambah beliau, sebagai contoh penyakit migrain atau sakit kepala yang sering dialami oleh manusia tiada ubat khusus dalam perubatan moden.
Sebaliknya, pesakit hanya dibekalkan dengan ubat penahan sakit bagi menghilangkan kesakitan yang dialami. Bagaimanapun, terapi akupunktur boleh menjadi alternatif bagi melegakan rasa sakit yang dialami.
Selain akupunktur, rawatan berbekam juga disediakan bagi mereka yang menggemari kaedah perubatan Islam ini. Melalui proses bekam, darah toksik akan dikeluarkan dari tubuh pesakit sekaligus melancarkan peredaran darah pesakit.
Antara kebaikan berbekam adalah membantu membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan serta memulihkan ketegangan urat.
Setiap sesi bagi rawatan akupunktur, berbekam atau sauna biasanya memakan masa sekurang-kurangnya 30 minit bergantung kepada keadaan pesakit.
Sebaiknya pelanggan yang mahu mendapatkan rawatan membuat temujanji terlebih dahulu bagi mengelakkan pertembungan dengan pesakit lain.
Pusat ini juga beroperasi di Kajang dan Shah Alam yang dikendalikan oleh pakar bertauliah dalam bidang rawatan perubatan komplimentari ini.
.......
Hakcipta terpelihara